j0m f0llow =)

Wednesday, September 9, 2015

ISU PENCEMARAN BAHASA DAN KESAN KEPADA PEMBENTUKAN MINDA MODAL INSAN NEGARA

   


     Menurut kamus dewan edisi keempat (2005), bahasa ialah satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain). Bahasa juga merupakan percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan sopan santun.
     Bahasa merupakan alat perantaraan kita untuk menyampaikan pesanan atau pemikiran dalam bentuk lisan, tulisan dan isyarat. Tetapi apa yang kita lihat sekarang, pencemaran bahasa melayu semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat terutamanya para remaja. Hal ini menyebabkan penulisan Bahasa Melayu semakin merosot dan memberikan impak negatif kepada bahasa itu sendiri.

     Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan tatabahasa, struktur ayat, penggunaan bahasa rojak, kesalahan ejaan dan istilah. Penggunaan bahasa rojak dalam komunikasi seharian juga merupakan salah satu daripada pencemaran bahasa. Bahasa rojak merupakan suatu komunikasi yang menggabungkan antara Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

     Faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kecanggihan perkembangan teknologi maklumat terutamanya penggunaan rangkaian mudah alih secara berleluasa. Penghantaran pesanan ringkas melalui media sosial seperti whatsapp, telegram, facebook dan sebagainya dengan meletakkan simbol, kod dan perkataan singkatan sebenarnya boleh mencemarkan bahasa. Contohnya, penggunaan bahasa ringkasan seperti 'x' yang bemaksud tidak, 'cmne' yang bermaksud macam mana, 'lg' yang bermaksud lagi dan sebagainya.

     Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan pencemaran bahasa. Hal ini kita boleh lihat bahawa betapa mudahnya seseorang remaja mempengaruhi remaja yang lain kerana ceteknya pengetahuan dan tidak peka terhadap bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi.

     Pencemaran bahasa memberikan banyak kesan terhadap pembentukan minda modal insan negara Malaysia. Antara kesannya ialah menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang. Generasi akan datang akan keliru untuk mempraktikkan bahasa yang sesuai untuk diguna pakai dalam kehidupan seharian. Generasi akan datang juga pasti akan mengikut peredaran zaman dimana menggunakan bahasa-bahasa terkini dan sudah tentu bahasa yang betul sudah tidak diamalkan lagi kerana hilangnya identiti bahasa tersebut.

     Seterusnya, pencemaran bahasa ini menyebabkan Bahasa Melayu dipinggirkan oleh masyarakat Melayu sendiri. Hal ini kerana, pelajar lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dalam komunikasi seharian. Bahasa rojak ini lama-kelamaan akan menjadi sebati dalam diri pelajar jika tidak dibendung dengan lebih awal. Perkara ini kita dapat dilihat dimana ramai pelajar terpengaruh dengan bahasa rojak ini kerana mereka menggunakan bahasa ini dalam penulisan karangan di sekolah.


     Isu pencemaran bahasa perlulah diatasi dengan segera agar tidak menjadi semakin parah dalam kalangan pelajar. Bak kata pepatah sudah terhantuk, baru tengadah. Bagi mengatasi masalah pencemaran bahasa, guru perlulah memainkan peranan penting terutamanya guru Bahasa Melayu dengan memperbetulkan kesalahan pelajar dalam tatabahasa ketika membuat ayat. Dengan ini, akan mengurangkan kesalahan bahasa sekaligus dapat melahirkan penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan pelajar.

     Selain itu, pihak media massa perlulah menyekat penggunaan bahasa yang tidak betul bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, pembaca dan penutur. Pihak media boleh membuat 'auto-correct' terhadap perkataan yang tidak mengikut bahasa baku dan menyekat iklan-iklan dalam Bahasa Melayu yang tidak mengikut piawaian seperti menggunakan bahasa rojak dalam iklan tersebut.

     Kesimpulannya, pencemaran bahasa merupakan perkara yang amat ketara berlaku dalam kalangan masyarakat sejak akhir-akhir ini dimana masalah ini dapat memberi kesan terhadap pembentukan minda modal insan negara Malaysia. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah memainkan peranan dengan menjalankan tugas dengan sebaiknya bagi membendung masalah ini. Pihak penerbit majalah atau drama juga boleh membuat pembaharuan dan penambahbaikan dari segi penggunaan bahasa kerana disinilah masyarakat dapat dididik agar menggunakan bahasa yang betul.



No comments:

Post a Comment